KAPA KV Tawau ke Perkhemahan Bersepadu Antara KV Peringkat Kebangsaan 2015

Rombongan peserta Perkhemahan Bersepadu Antara KV Peringkat Kebangsaan 2015 bersama Ketua Guru Penasihat, Cikgu Norhayati Amir dan guru pengiring, Cikgu Kholik Marming sebelum berangkat ke Kota Kinabalu | Foto oleh Carlos George

Persatuan Kadet Pertahanan Awam (KAPA) Kolej Vokasional (KV) Tawau bersama pasukan KAPA KV Keningau akan mewakili Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan ke Perkhemahan Bersepadu Antara KV Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Desa Rimba, Kuala Kangsar, Perak.

Penganjur perkhemahan ini ialah Kolej Vokasional Gerik.

Kolej Vokasional Tawau menghantar 18 peserta lelaki yang diiringi oleh Cikgu Kholik Marming dan Cikgu Mohd Hilmi Yop. Para peserta ini akan disertai oleh peserta perempuan dari KV Keningau.

Mereka akan bertanding dalam lima kategori pertandingan dalam perkhemahan ini iaitu Bantu Mula, Ikatan dan Simpulan, Kawad Kaki, Masakan Rimba dan Gajet. 

Menurut Cikgu Norhayati Amir, walaupun ini merupakan penyertaan kali pertama, pasukan 18 pelajar ini telah menjalani latihan intensif selama 2 minggu sebagai persediaan untuk mencipta nama diperingkat kebangsaan. "Kita akan cuba untuk menang mana-mana kategori bersandarkan kepada kualiti yang kita ada.", jelasnya.