Perlawanan Terakhir Peringkat Kumpulan Jadi Sandaran

Muhammad Agus Jaya (dua dari kiri) memerhatikan rakan sepasukan, Mohd Syazani (kiri) mengejar bola semasa perlawanan hoki menentang pasukan SMK Kuhara | Foto oleh Carlos George

Pasukan Hoki Lelaki dan Perempuan Kolej Vokasional Tawau masing-masing mengumpul dua mata dari tiga perlawanan peringkat kumpulan terpaksa turun padang pada petang ini dengan misi MESTI MENANG untuk layak ke peringkat seterusnya.

Pasukan lelaki bersaing dalam Kumpulan A mencatatkan keputusan dua kali seri menentang Pasukan MRSM Tun Mustapha, Tawau (0-0) dan SMK Pasir Putih (0-0) dan tewas dengan SMK Kuhara (0-1). Perlawanan terakhir ialah menentang pasukan SMK Abaka. 


Mohd Rasi (topi biru) memberikan pandangan dan komen tentang cara permainan dan cara menambahbaik semasa sesi rehat separuh masa pertama dalam perlawanan menetang pasukan MRSM | Foto oleh Carlos George

Pasukan perempuan pula bersaing dalam Kumpulan C, turut mencatat keputusan tewas sekali dan dua kali seri. Perlawanan pertama menyaksikan pasukan perempuan KV Tawau diasak habis-habisan oleh pasukan SMK Abaka yang berakhir dengan jaringan 3-0. Dalam perlawanan kedua menentang MRSM, pasukan perempuan bermain dengan lebih kemas dan berjaya mencipta beberapa peluang namun tidak berjaya menghasilkan gol. Perlawanan berakhir seri tanpa jaringan. Perlawanan ketiga adalah menentang SMK Balung yang turut berakhir seri tanpa jaringan.


PERLAWANAN BERAKHIR SERI TANPA JARINGAN | Nurhani Yunus (jersi hijau) meninggalkan padang astroturf dengan kekecewaan kerana tidak berjaya menjaringkan gol buat pasukan walaupun mempunyai beberapa peluang baik sepanjang perlawanan menentang MRSM | Foto oleh Carlos George

Menurut jurulatih pasukan, Mohd Rasi Solong, kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk mengutip 3 mata semasa menentang MRSM namun para pemain tidak berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang didepan mata. Walau bagaimanapun, peluang untuk mara ke perlawanan peringkat separuh akhir masih terbuka tetapi dengan mengutip tiga mata penuh dalam kedua-dua perlawanan, kategori lelaki dan perempuan.

Kepada yang ingin memberikan sokongan kepada pasukan Hoki KV Tawau, perlawanan petang ini bermula pada jam 3:30 petang untuk pasukan lelaki dan diikuti oleh perlawanan menentang SMK Umas untuk pasukan perempuan.

Kejohanan Hoki MSS Peringkat Daerah Tawau ini masih berlangsung di Padang Astroturf, Kompleks Sukan Tawau sehingga esok, 28 Mac 2015.