Pencapaian Akademik dan Kokurikulum Perlu Seimbang

Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Encik Rangiah A/L Muthusamy (kiri) menerima piala dan sijil penghargaan bagi tempat ke-2 keseluruhan, Pertandingan Kemahiran Kadet Pertahanan Awam (KAPA) Peringkat Zon Tenggara dari Ketua Guru Penasihat KAPA, Norhayati Amir (kanan) | Foto oleh Carlos George

Dua pasukan Unit Beruniform menerima penghargaan dari pihak kolej apabila piala dan sijil disampaikan kepada mereka dalam Majlis Perhimpunan Mingguan Kolej pada 23 Mac yang lalu. 

Unit beruniform yang terlibat ialah Persatuan Kadet Pertahanan Awam KV Tawau yang mendapat tempat ke-2 keseluruhan dalam Pertandingan Kemahiran KAPA Peringkat Zon Tenggara dan Persatuan Pengakap KV Tawau yang menyertai CAMPOREE Pengakap Tawau Kali Ke-5 Peringkat Antarabangsa.

Sebahagian daripada 18 orang pelajar yang menyertai CAMPOREE Pengakap Tawau Kali Ke-5 Peringkat Antarabangsa di Kem Kemahiran Pengakap Tiku, Tawau | Foto oleh Carlos George

Berucap dalam majlis ini, Encik Rangiah menekankan tentang pentingnya keseimbangan dalam kedua-dua aspek akademik dan kokurikulum. 

"Kita sangat berbangga dengan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum dimana hampir setiap pertandingan yang kita sertai, kita boleh menang. Kalau dalam Daerah Tawau, nama Kolej Vokasional Tawau memang cukup dihormati. Tetapi, semasa saya menghadiri Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kolej Vokasional baru-baru ini, Kolej Vokasional Tawau menjadi tumpuan sekali lagi. Bukan kerana pencapaian kokurikulum tetapi prestasi akademik pada tahun lepas yang kurang memberangsangkan."

Beliau turut menegaskan bahawa kemampuan setiap kolej vokasional adalah sama kerana syarat pengambilan pelajar adalah berdasarkan kepada syarat yang sama. Namun, jika dilihat dari sudut Kolej Vokasional Tawau, kemampuan ini nampak berbeza kerana, KV Tawau menunjukkan kemerosotan dalam prestasi akademik, walaupun sedikit.

"Oleh itu, tumpuan terhadap akademik dan kokurikulum perlu seimbang. Semua orang perlu ambil iktibar dan pedoman dari kejayaan yang pernah dicapai sebelum ini. Langkah-langkah awal perlu diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi. Keberhasilan pelajar perlu dijaga kerana kumpulan pertama yang akan keluar untuk industri ialah pada tahun 2017."